Category Archives: Keratan Akhbar

Harga Emas Dunia Dijangka Meningkat

Featured-Images-ME-HargaEmas








Seorang penjual di sebuah kedai emas di Tokyo menunjukkan kepingan emas yang menyaksikan harganya semakin meningkat di pasaran dunia. – AFP

 

KUALA LUMPUR 3 Feb. – Harga emas dunia dijangka meningkat mencecah AS$1,975 (RM5,925) seaun pada suku keempat tahun ini berikutan sentimen yang positif, kata Ketua Strategi Pelaburan Standard Chartered Bank, Steve Brice hari ini.

Harga emas ditutup pada AS$$1,756.80 (RM5,268) seaun hari ini.

Beliau berkata, kenaikan itu didorong oleh beberapa faktor termasuk paras hutang yang tinggi di Amerika Syarikat, bekalannya yang terhad dan peningkatan permintaan daripada China dan India.

Brice berkata, emas merupakan pelaburan yang sangat baik kerana ia menawarkan kepelbagaian selain memberi pulangan yang menguntungkan.

Malah iklim ekonomi yang tidak menentu ketika ini, turut menekan harga komoditi itu untuk melonjak berikutan permintaan yang tinggi, kata beliau lagi.

Brice berkata demikian ketika taklimat media tentang Tinjauan Masa Hadapan Suku Pertama 2012 Standard Chartered di sini hari ini.

Beliau menjelaskan permintaan yang tinggi juga datang dari negara-negara seperti India dan China tetapi juga bank-bank pusat yang ingin meningkatkan simpanan emas sebagai pelindung inflasi.

Menurut Brice, bekalan yang terhad di sebalik permintaan yang semakin bertambah turut mendorong peningkatan harga emas menjelang hujung tahun ini.

Sementara itu, beliau juga meramalkan Ringgit mengukuh sehingga RM3.00 berbanding AS$1 sekiranya Amerika Syarikat melaksanakan pakej rangsangan ekonomi yang ketiga (third qualitative easing) pada separuh kedua tahun ini.

Katanya, sekiranya pakej rangsangan tersebut dilaksanakan ia bakal mendorong pembelian risiko (risk buying) oleh pelabur seperti mana yang telah berlaku semasa pakej-pakej terdahulu dilaksanakan.

Brice juga menjangkakan Bank Negara Malaysia akan menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada suku pertama dan 25 mata asas lagi pada suku kedua tahun ini bagi terus merangsang pertumbuhan domestik.

Harga Emas Lepasi Paras AS$1,800 Seaun

Featured-Images-ME-HargaEmas

 

 

 

 

NEW YORK 11 Ogos – Harga emas dunia melepasi paras AS$1,800 (RM5,400) seaun semalam buat pertama kalinya selepas pelabur menarik keluar pelaburan mereka bagi membeli kontrak komoditi itu.

Emas menjadi kegemaran pelabur bagi berhadapan dengan keadaan pasaran yang tidak menentu pada masa ini.

Sementara itu, di awal dagangan pasaran emas Asia, komoditi tersebut melonjak ke paras tertinggi AS$1,814.50 (RM5,443.50) hingga AS$1,815.50 (RM5,446.50) seaun.

Rekod itu dicatatkan selepas pasaran ekuiti Asia menjunam pada dagangan awal, dengan Tokyo kerugian sehingga dua peratus, Seoul pula jatuh sebanyak empat peratus dan Sydney didagangkan 1.5 peratus lebih rendah.

Para pelabur telah dikejutkan dengan kemungkinan penurunan taraf kredit Perancis yang berada dalam keadaan terumbang-ambing selepas penarafan kredit Amerika Syarikat (AS) diturunkan untuk pertama kalinya.

Khabar angin tentang penurunan taraf kredit Perancis itu timbul ekoran masalah yang dihadapi oleh beberapa bank di negara itu dan menguatkan lagi kebimbangan krisis hutang zon Eropah yang telah merebak.

Pelabur-pelabur bimbang bahawa Itali dan Sepanyol akan menjadi negara seterusnya yang tidak mampu membayar hutang mereka.

Sistem kewangan Eropah berada dalam keadaan buruk disebabkan oleh pihak bank yang memegang bon negara-negara yang mempunyai hutang besar seperti Greece dan Portugal.

Para pelabur dilihat berpaut kepada apa yang mereka rasakan sebagai pelindung nilai berbanding turun naik pasaran saham dan mata wang.

Komoditi itu pernah didagangkan sekitar AS$900 (RM2,700) pada musim panas 2008 sebelum krisis kewangan berlaku pada tahun itu. – Agensi

Sumber: Utusan Online

Berita Emas & Perak: Dinar dan Dirham Negeri Perak

Featured-Images-ME-Dinar-Dirham

 

 

 

 

Negeri Perak akan memperkenalkan Dinar Emas dan Dirham Perak pada penghujung bulan depan. Negeri Perak adalah Kerajaan Negeri kedua selepas Kelantan memperkenalkan Dinar Emas dan Dirham Perak untuk simpanan dan pelaburan.

image image
image image
image

Perak Perkenal Dinar Emas, Dirham Akhir Bulan Depan

IPOH, 25 Jan (Bernama) — Kerajaan Perak akan memperkenalkan mata wang dinar emas dan dirham pada akhir bulan depan bertujuan mempelbagaikan bentuk simpanan kewangan rakyat. Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, ICT, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri Datuk Mohamad Zahir Khalid berkata Perak sedang bekerjasama dengan Kuwait Finance House (KFH) untuk memperkenalkan dinar emas dan dirham kerana institusi kewangan itu berpengalaman luas dalam aspek pengendalian mata wang berkenaan.
"Apa yang pasti mata wang (dinar emas dan dirham) diperkenalkan Perak amat jauh berbeza dengan mata wang yang diperkenalkan Kelantan sebelum ini. Perbezaan itu akan dijelaskan oleh Menteri Besar (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) nanti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pihak pengurusan tertinggi KFH di sini hari Selasa.
Segala perincian, mekanisme serta bentuk mata wang berkenaan akan diumumkan pada pelancaran itu nanti, kata Mohamad Zahir.
Dinar emas dan dirham itu akan dikeluarkan Goldnet International Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dengan kerjasama KFH (Malaysia) Sdn Bhd.
Pengerusi KFH Shaheen al Ghanem berharap hubungan yang terjalin termasuk dalam aspek nasihat kewangan serta sokongan dalam pengeluaran bantuan modal dengan kerajaan negeri dapat diteruskan pada masa depan.
"Kami juga sebenarnya dalam proses untuk melebarkan sayap perniagaan ke seluruh Malaysia dan sedang melihat kemungkinan mewujudkan cawangan di Ipoh pada masa terdekat kerana berpuas hati dengan inisiatif pembangunan yang ditunjukkan kerajaan negeri," katanya.
– BERNAMA

image

Perak perkenal dinar emas untuk simpanan, pelaburan

IPOH 26 Jan. – Dinar emas dan dirham perak yang akan dilancarkan oleh kerajaan negeri Perak pada penghujung bulan depan adalah dalam bentuk instrumen simpanan dan pelaburan dengan tujuan untuk memberi keuntungan kepada rakyat.

Pengerusi Goldnet International Sdn Bhd, Datuk Rais Hussin berkata, dinar emas dan dirham perak itu tidak akan digunakan sebagai mata wang seperti yang dilakukan oleh kerajaan negeri Kelantan sebelum ini.

"Goldnet International dan kerajaan negeri Perak akan mengambil peluang meneroka pengalaman luas Kuwait Finance House (KFH) yang sebelum ini telah menawarkan akaun emas di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, dinar emas dan dirham perak itu akan dikeluarkan oleh Goldnet International Sdn Bhd yang merupakan sebuah syarikat usaha sama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Dr Mahathir Galak Rakyat Jadikan Emas Sebagai Simpanan

Emas-PG-1

 

 

 

 

 

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) — Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa orang ramai cuba menyimpan emas sebagai simpanan mereka berbanding mata wang kerana nilai emas lebih terjamin dan sukar untuk jatuh dengan nilai besar.

Bekas Perdana Menteri itu berkata nilai mata wang tidak terjamin kerana ia bergantung kepada pasaran tukaran mata wang dunia yang sentiasa berubah-ubah.

Menurut beliau, ada kalanya nilai mata wang akan jatuh dengan teruk apabila berlaku sesuatu krisis kewangan di sesebuah negara.

"Mata wang hanyalah sehelai kertas yang digunakan untuk mewakili nilai tertentu tetapi bukan nilai sebenar namun emas boleh mewakili nilai sebenar kerana ia sebuah logam berharga di seluruh dunia,"

"Simpanan emas juga lebih terjamin jika ingin menjualnya kerana harganya sentiasa meningkat dan ia boleh membantu orang ramai menghadapi inflasi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan produk emas Geneva Malaysia di sini malam ini.

Produk emas itu terdiri daripada jongkong pelbagai berat dihasilkan oleh Persatuan Persahabatan Malaysia-Arab Saudi (MSAF) dan Persatuan Usahawan Jongkong Emas Malaysia (GBEAM) yang dikeluarkan untuk memenuhi keperluan syariah.

MSAF dan GBEAM menyasarkan syarikat swasta dan orang ramai untuk mendapatkan produk berkenaan sebagai urusan dalam pelbagai transaksi terutamanya jualan dan belian.

Dr Mahathir berkata satu ketika dahulu, satu auns emas bernilai RM109.79 tetapi kini satu auns emas bernilai kira-kira RM4390.40.

Beliau berkata orang ramai boleh menyimpan emas dalam bentuk barang kemas yang mudah didapati di seluruh negara dan ia mampu untuk dimiliki.

 

– BERNAMA

Emas pengukur pergerakan mata wang

PG-Emas

LONDON 8 Nov. – Ketua Bank Dunia, Robert Zoellick menggesa pemimpin-pemimpin ekonomi dunia mempertimbangkan penggunaan semula emas dalam sistem monetari sebagai pengukur dalam pergerakan mata wang.

Beliau membuat cadangan itu kerana bimbang berlaku ‘peperangan mata wang’ dalam suratnya yang diterbitkan dalam Financial Times.

Zoellick berkata, sistem itu perlu terlibat dalam dolar, euro, yen, pound dan renminbi yang kini diperdagangkan di peringkat antarabangsa.

”Sistem ini juga boleh mempertimbangkan penggunaan emas sebagai rujukan antarabangsa bagi jangkaan pasaran berkaitan inflasi, deflasi dan nilai mata wang hadapan,” tambahnya.

Amerika Syarikat (AS) kini semakin konsisten mengkritik China kerana menurunkan nilai renminbi dengan tujuan untuk mengambil faedah dalam pasaran eksport.

Ekoran kritikan itu, China membalas balik dengan mencetak AS$600 bilion (RM1.8 trilion) duit baru sambil mendakwa untuk memberi AS kelebihan persaingan.

”Sekiranya polisi domestik adalah polisi optimum bagi AS, tetapi pada masa sama ia bukan polisi optimum bagi dunia, ia mungkin membawa banyak kesan negatif kepada dunia,” menurut Ketua Bank Negara China, Zhou Xiaochuan.

China melahirkan kebimbangan polisi monetari Rizab Persekutuan AS akan mengurangkan nilai dolar, menyebabkan eksport negara itu merosot.

Berikutan itu, China menggesa pemantauan terhadap pergerakan dolar AS semasa mesyuarat G20 di Seoul pada minggu ini.

Standard emas dipinggirkan oleh bekas Presiden AS, Richard Nixon pada 1971 kerana nilai dolar jatuh menjunam berbanding emas.

Emas dipercayai boleh membantu menangani inflasi tetapi ia tidak dibenarkan bagi polisi monetari fleksibel, yang mana kebanyakan pakar ekonomi mendakwa ia perlu dalam menangani kejutan ekonomi. – AFP

Jualan dinar, dirham laris

KUALA LUMPUR – Sejumlah RM1.5 juta dinar emas dan RM500,000 wang dirham yang diperkenalkan Kerajaan Pas Kelantan sebagai alternatif kepada mata wang sedia ada habis dijual dalam tempoh tiga minggu sejak dilancarkan 12 Ogos lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan Golden Trade Sdn Bhd (KGT), Profesor Dr Umar Ibrahim Vadillo berkata, negeri Kelantan menunjukkan perkembangan paling pantas penjualan mata wang dinar dan dirham sejak diperkenalkan di negeri itu.

“Orang ramai diminta menunggu sehingga selepas musim perayaan Aidilfitri bagi mendapatkan dinar emas Kelantan dan menghubungi pihak KGT kerana ia adalah satu-satunya agensi yang bertanggungjawab bagi penjualan mata wang ini.

“Bagi mengelak berlaku sebarang kekeliruan, orang ramai dinasihatkan tidak menghubungi lain-lain jabatan kerajaan seperti Pejabat Menteri Besar atau Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) bagi tujuan mendapatkan dinar emas dan dirham ini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, Kerajaan Kelantan telah melipatgandakan modal operasi KGT daripada RM2 juta kepada RM4 juta untuk meningkatkan jumlah pengeluaran mata wang ini.

“Kami telah menyediakan penambahan syarikat pengeluaran dinar dan dirham di sini iaitu melalui syarikat Public Gold Sdn Bhd yang terletak di Penang.

“Dari segi edaran pula, kami juga telah menambah jumlah ejen untuk mengedarkan mata wang ini daripada dua buah iaitu Permodalan Kelantan Berhad (PKB) Ar-Rahn (Kota Baharu) dan Nubex (Kuala Lumpur) kepada enam buah lagi yang akan dikenal pasti,” katanya.

Sumber: www.sinarharian.com.my

Emas pengganti duit raya?

Gary Joseph menunjukkan sebahagian koleksi perhiasan emas termasuk kepingan emas yang boleh dijadikan pengganti duit raya di Kuala Lumpur, baru-baru ini .

PUTRAJAYA 29 Ogos – Tradisi pemberian duit raya sempena Hari Raya Aidilfitri mungkin patut diubah kepada pemberian kepingan emas (gold bar) yang mampu memberi keuntungan pada masa akan datang.

Pengurus Besar Habib Jewels Sdn. Bhd. (Bahagian Jualan Persendirian), Gary Joseph berkata, pelaburan logam berkenaan amat menguntungkan dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini harganya tidak pernah merosot.

“Lebih baik berikan kepingan emas berbanding wang tunai kerana ia boleh disimpan dan dijual pada bila-bila masa dengan harga yang lebih tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut beliau, amalan ini telah diamalkan di kalangan kaum Cina yang memberikan angpow dalam bentuk kepingan emas.

Menurut Gary, Habib Jewels kini menawarkan pembelian kepingan emas yang berbeza dengan apa ditawarkan oleh bank di negara ini.

Syarikat itu membenarkan pembeli membawa pulang kepingan emas terbabit dan mereka boleh menggadainya semula di mana-mana kedai emas ataupun Ar-Rahnu bagi mendapatkan wang tunai.

“Kebanyakan bank tidak benarkan pelanggan bawa pulang emas terbabit, pelanggan beli dan hanya simpan resit pembelian atau buku bank, dan penjualan emas berkenaan hanya terhad kepada itu sahaja,” katanya.

Tambah Gary, Habib Jewels menawarkan kepingan emas dengan berat minimum lima gram sehingga sekilogram.

Ia ditawar mengikut harga pasaran emas semasa dan ketika ini Habib Jewels menjual kepingan emas jenama Pamp Suisse pada harga sekitar RM145 segram.

Menurut Gary, emas adalah sumber pelaburan yang tidak pernah menghampakan pelaburnya untuk meraih keuntungan.

Katanya, walaupun harga emas ketika ini mengalami pembetulan namun ia masih stabil dan dijangka terus meningkat kira-kira lima peratus menjelang November ini.

“Ketika krisis ekonomi yang lalu, harga emas melonjak sehingga 30 peratus tetapi sekarang ia kian stabil dan mampu memberi pulangan pelaburan sekitar lima peratus hingga lapan peratus.

“Ini adalah masa terbaik untuk membeli emas sama ada emas fizikal ataupun barang kemas kerana harganya kompetitif namun mampu memberi pulangan pelaburan pada masa akan datang,” ujarnya.

Apa yang menarik mengenai pelaburan emas, harganya akan naik mendadak didorong oleh beberapa faktor luaran yang negatif seperti ketidaktentuan ekonomi, kelembapan pasaran kewangan dan peningkatan harga minyak, jelasnya.

Tambah beliau, sekiranya, faktor-faktor ini menunjukkan trend positif, harga emas akan terus stabil tetapi ia belum pernah jatuh menjunam dan merugikan pelabur-pelaburnya.

“Apabila berlaku ketidaktentuan ekonomi terutama pasaran global, orang ramai akan mula membeli emas kerana mereka yakin harga emas tidak akan jatuh dan mereka tidak akan mengalami kerugian,” katanya.

Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, Habib Jewels mempromosikan kempen ‘Rantaian Kasih’ yang mana pelanggan boleh mendapat diskaun terbaik bagi barang-barang kemas yang dijualnya.

Pada tahun ini, Habib Jewels membuka ruang pameran di hadapan kedainya di pusat membeli belah Alamanda, Putrajaya selama sebulan bagi tujuan promosi ‘Rantaian Kasih’.

Dijangkakan seramai 24,000 pelanggan akan mengunjungi ruang pameran berkenaan.

Emas eksport utama kita ke UAE

JUMLAH dagangan antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) meningkat 25.1 peratus pada setengah tahun pertama 2010 kepada 9.32 bilion dirham (RM89.22) daripada 7.45 bilion dirham pada tempoh sama tahun lalu.

Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), sepanjang Januari-Jun 2010, eksport Malaysia ke UAE naik 23.2 peratus kepada 5.97 bilion dirham daripada 4.85 bilion dirham pada setengah pertama 2009.

UAE terus menjadi sumber import terbesar Malaysia daripada wilayah Asia Barat, naik 29 peratus pada enam bulan pertama 2010 berbanding tempoh sama 2009.

Malaysia mengimport barangan bernilai 3.35 bilion dirham daripada UAE pada setengah pertama 2010 berbanding 2.6 bilion dirham pada setengah pertama 2009. Pesuruhjaya Dagangan Kanan Matrade yang berpangkalan di Dubai, Datuk Dzulkifli Mahmud berkata, pihaknya teruja dengan perkembangan positif dalam angka dagangan antara Malaysia dan UAE.

“Produk barangan kemas masih berada pada tempat teratas, menguasai 33.3 peratus eksport keseluruhan Malaysia ke UAE pada Januari-Jun 2010.” “Eksport barangan kemas meningkat 2.7 peratus kepada 1.98 bilion dirham pada setengah pertama 2010 daripada 1.93 bilion dirham pada setengah pertama 2009,” katanya.

Sumber: Harian Metro 14/8/2010